NUSAJAYA : Untuk mengelakkan anak perempuannya dicekup melakukan maksiat kali kedua, seorang ibu bukan saja bersubahat membenarkan anaknya itu membawa pulang teman lelaki, malah turut menyediakan tempat tidur di rumah mereka di Taman Nusantara di sini.
Beberapa bulan lalu pasangan berkenaan pernah ditangkap khalwat di pusat riadah kawasan perumahan itu, namun tidak insaf, sebaliknya meneruskan kegiatan sumbang dengan ibu si perempuan turut bersekongkol.
Bagaimanapun, kelakuan mengaibkan
dua beranak itu terbongkar hasil intipan penguat kuasa Jabatan Agama
Johor dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk Biro Keselamatan dan
Jawatankuasa Surau Taman Nusantara, baru-baru ini.
Pengerusi Biro
Keselamatan Taman Nusantara, Ismail Rejab, 46, berkata serbuan
dijalankan ke rumah dua beranak itu kira-kira jam 5 pagi dan ketika
diserbu teman lelaki gadis itu tidur di tingkat bawah manakala teman
wanitanya di tingkat atas.
“Pasangan
berusia 20-an itu seolah-olah mendapat lesen daripada ibu gadis itu
apabila kerap membawa balik teman lelaki pada siang mahupun malam. Kami
juga difahamkan ibu itu membenarkan mereka berdua-duaan di rumah.
“Ibu gadis itu
berusia 50-an mengakui kesilapan membiarkan anaknya bebas bergaul hingga
membawa balik teman lelaki dan berjanji akan mengawasi kegiatan anak
perempuannya,” katanya sambil memaklumkan anak wanita itu juga diberi
kaunseling supaya tidak mengulangi perbuatannya.
Sementara itu,
Ismail berkata, terdahulu, pihaknya membuat serbuan ke sebuah kediaman
seorang gadis, 20, yang tinggal bersama rakannya, kira-kira jam 3.30
pagi.
Menurutnya, gadis itu mengambil masa setengah jam membuka pintu rumah.
“Selepas diberi
amaran, gadis itu memakai kemeja-T dan berseluar pendek membuka pintu
sebelum pemeriksaan mendapati seorang lelaki berusia 23 tahun berasal
dari Kampung Melayu, Gelang Patah berada di dalam bilik tidurnya.
“Pasangan itu diserahkan kepada pegawai pencegah maksiat Jabatan Agama Johor manakala teman serumah wanita itu diambil keterangan kerana disyaki bersubahat,” katanya.
Sementara itu, Imam 1 Taman Nusantara, Samsul Adha, 40, berkata pihaknya sentiasa berusaha membanteras kegiatan tidak bermoral di kalangan anak muda di kawasan perumahan itu.
“Kami berharap supaya golongan anak muda tidak memandang ringan usaha membanteras maksiat yang dijalankan,”
sumber : siakapkeli
0 comments:
Post a Comment